Hanya Orang Tolol Yang Percaya Sukab!

ATM lengang, kacanya berembun disebabkan aircond yang dibiarkan tetap menyala; di malam yang begitu dingin. Kenderaan yang melintas hanya satu dua saja.Kelihatan trak-trak besar dengan muatan yang hampir dilihat mustahil untuk diangkut. Lampu-lampu jalan nampak mulai letih dengan nyalaan yang seperti dipaksa-paksa.

Sebuah motosikal yang dilihat ditunggang dengan laju, dalam keadaan yang tidak berapa stabil mendekati, menuju ke arah ATM, kelihatan melelong dalam anggaran beberapa saat, tapi nampak seperti si penunggangnya masih mampu mengendalikan motornya.

Penunggangnya turun, lelaki berseluar jeans biru muda dengan baju sejuk  berhoodie yang nampak terpaksa digunakan, mungkin untuk menghalang dingin malam menyaluti tubuh. Dengan satu gerakan yang amat cepat, ia menurunkan tongkat untuk menongkat motornya.

Ah sial! Motor itu terjatuh tapi si lelaki berseluar jeans biru muda yang berhoodie itu langsung tak mahu membetulkan semula motornya yang terbalik. Dia terus berjalan, agak tak berapa stabil juga, menuju ke ruang mesin pengeluaran wang tunai, yang kacanya nampak masih berembun.

02.40

Langit masih gelap, sebab fajar belum mahu menampakkan dirinya di pagi ini. Lelaki berseluar jeans biru muda yang menggunakan hoodie masih berada di dalam ruang berembun mesin ATM. Nada-nada minor sahut-menyahut dari tombol-tombol ganjil yang ditekan lelaki itu. Motornya masih terbungkang seperti tikus yang terkejut akibat digigit semut lalu terkangkang di tepi longkang. Perumpamaan yang agak pelik! Ah! Lantaklah!.. bukankah semua perumpamaan sememang dan sesungguhnya pelik?

02.59

Ah! Ia masih disana! Dah hampir pukul tiga. Masa ini, pelacur pun sudah tiba di rumah. Meneguk sebotol air kencing setan dan lalu terbaring kaku di sofa murahan yang warnanya sudah pudar, bercampur dengan bau busuk sang lelaki yang datang ke rumahnya.

Praaanggg! Sekonyong-konyong pintu kaca itu ditendang dengan kaki kanannya yang mengenakan sandal Swalow berwarna hijau. Lelaki berseluar jeans biru muda yang menggunakan hoodie sekarang berjalan dengan agak tergesa, membetulkan posisi motornya yang terbalik tadi. Dengan satu tarikan, motor itu lesap menembus gelap.

05.00

Langit masih juga gelap. Belum ada tanda-tanda terbitnya petanda warna jingga di hujung horizon timur. Lelaki berseluar jeans biru muda yang mengenakan hoodie sekarang sudah berada di dalam biliknya, yang gelap dan hapak, sambik memeluk sebotol air kencing setan yang dibeli entah dari mana tadi. Botol haram itu sudah tinggal dua pertiga. Kepalanya hampir menyondol syiling bilik, sambil matanya setengah terbuka, atau setengah tertutup, entahlah. Yang pasti, ia tidak lagi membuka matanya dengan sempurna. Musik Rock Alternative mengubah suasana bilik itu menjadi semakin serupa haram jadah. Disebabkan penghuninya yang sedang mabuk, tentulah untuk semakin mewujudkan situasi dramatik, muzik itu perlu ada dalam cerita ini.

Ia masih berteriak-teriak–setidak-tidaknya begitulah yang ada dalam fikirannya– walaupun hakikatnya yang keluar hanyalah desis-desis lirik. Jika diamati sesekali terdengar seperti anak muda yang mabuk teruk. Sumpah serapah, kebencian, kekalahan, pengkhianatan, kekecewaan dan sebagainya.

“Mulai hari ini, langit akan tetap gelap. Matahari tidak sudi terbit untuk kamu semua!”

“Inilah yang dinamakan hari pembalasan, wahai semua manusia-manusia munafik, orang-orang sial hipokrit! Anjing-anjing korporat keparat yang bangsat!”

“Kalau sudah begini, apa yang kau mahu? Mahu apa hah? Semua dah habis dikaut oleh nafsu serakah babi seperti kamu semua!”

Lelaki berhoodie betul-betul mabuk sekarang. Langit betul-betul masih gelap. Tapi lelaki berseluar jeans biru muda dengan hoodie itu sedang mabuk, tidak mungkin apa yang dikatakannya benar, atau setidaknya sedikit menyerupai kebenaran. Tidak mungkin!

07.15

Orang-orang yang sedang bergegas menuju tempat kerjanya seperti para gladiator bersiap memasuki arena–Ah! lagi perumpamaan yang pelik!–  Mereka kelihatan kebingungan melihat langit yang masih gelap. Tidak ada tanda-tanda matahari muncul walaupun cuma sedikit di hujung timur sana. Beberapa orang duduk di tepi, sama-sama berkongsi keresahan dengan yang lainnya. Nampak seperti mereka memang senang untuk berkongsi keresahannya dengan yang lain. Mungkin dengan begitu, keresahannya akan berkurang ~ sedikit. Setidak-tidaknya, merasa ada yang bernasib serupa. Yang lainnya nampak macam tidak peduli. Menghembus asap vape dengan rasa angkuh dan lagaknya. Mungkin mereka ini adalah golongan pekerja yang hutang kereta dan rumahnya belum habis dibayar lagi sementara isteri di rumah sudah meminta-minta supaya dibelikan televisyen baru akibat daripada jiran sebelah yang baru saja membeli barang yang serupa.

08.30

Situasi semakin menghairankan, seisi kota mulai gempar. Langit masih juga gelap. Masjid dan surau di tepi jalan secara tiba-tiba berubah menjadi sesak dikunjungi manusia-manusia yang ketakutan akan datangnya hari penghabisan. Imam masjid memperdengarkan doa-doa yang diterbangkan ke angkasa gelap. Di salah satu sudut warung kopi, terdengar berita di radio yang volumenya diperkuatkan semaksima mungkin.

“Breaking news!

Mulai hari ini matahari tidak akan terbit lagi. Harap maklum. Sekian.”

Kemudian lagu dangdut kembali memekakkan telinga.

teganya dirimu, teganya, teganya… laalaalaa

Pada waktu yang sama, di dalam bilik busuk tadi, lelaki berseluar jeans biru muda yang menggunakan hoodie menjerit menjerit kegembiraan selepas mendengar breaking news itu. “Hahaha.. waktu ini kamu semua pasti sedang memikirkan si Sukab dalam cerita Seno itu kan? Kamu semua si orang-orang tolol pasti percaya cerita itu bukan cerita fiksyen, tapi ramalan masa depan, seperti 1984nya Orwell. Seno mungkin memang seorang yang ada kuasa sakti. Sekarang, mampus lah kamu semua cacing-cacing tanah, tikus-tikus kapitalis bangsat! Hahhahaa!”

10.00

Jalan-jalan di seluruh kota menjadi padat. Manusia-manusia berjalan dengan resah. Sama seperti dalam cerita Seno, mereka berkumpul di jalan-jalan kota yang cantik dengan bunga-bunga yang mekar dalam pasu-pasu besar, bukan di pasar yang becak dan bau yang busuk. Sebab pasar sudah tidak ada lagi di kota ini. Habis semua menjadi pasaraya besar bertingkat. Jadi, latar belakang pasar sudah tidak relevan lagi dalam cerita ini. Maka mari kita gantikan ia dengan jalan-jalan yang cantik dengan pasu-pasu besar.

Kemudian, kelihatan sekonyong-konyong pemuda yang wajahnya nampak seperti membawa wahyu ilahiah naik ke atas bangunan paling tinggi di jalan-jalan itu.

“Tuan-tuan semua, bawa bertenang. Sila bawa bertenang! Langit sampai sekarang masih belum juga terang. Matahari masih bersembunyi tak tahu di mana. Ada baiknya kita mulai mencarinya, mungkin boleh dimulai dengan mengunjungi rumah Seno Gumira Ajidarma. Si pengarang cerita itu. Mungkin si Seno ada jawapannya. Ada yang tahu alamatnya?”

“Saya, saya tahu!” sahut seorang remaja yang memakai seluar berwarna abu-abu “Saya tahu rumahnya, sebab saya memang kenal dengan si Sukab! Kalau sudah jumpa Sukab, pasti kita mampu berjumpa dengan Seno. Pasti! Tidak salah lagi.”

“Tuan, Sukab itu kan watak fiksyen dalam cerita yang dikarang Seno. Tak mungkin ia ada dalam dunia nyata. Ah tuan.. dalam keadaan kalut macam ni masih lagi mahu mengarut!” seorang yang nampak seperti seorang yang bijak dengan kumis tebalnya membebel.

huuuuuuuu… kerumunan itu dengan serentak menyorak budak remaja yang memakai seluar berwarna abu-abu.

“Bawa bertenang semua. Sukab memang watak fiksyen dalam cerita-cerita Seno, tapi bukankah yang kita sedang hadapi ini sama seperti yang ada dalam cerita? Seperti fiksyen. Sebab kalau di dunia nyata, rasanya pelik bila matahari tidak terbit. Jadi, mungkin ada benarnya juga cadangan dari adik yang tadi.”

“Ya betul, ayuh kita cari Sukab! Maklumat terakhir dia sedang ada di pantai, bersama sekumpulan orang yang mencari matahari sampai jauh ke timur”

“Ayuhhhhh!!” suara bergemuruh, kerumunan itu seperti mendapat harapan semula. Ya, setidak-tidaknya dengan harapan, mereka memiliki kembali hidup, sebab jangan-jangan memang hanya dengan harapanlah manusia mampu bertahan.

Kerumunan itu kemudiannya terpecah menjadi dua golongan, yang sepakat untuk mencari Sukab dan yang tidak. Mereka yang percaya Sukab adalah jawapan awal dari misteri ini segera berbaris mengikuti remaja yang menggunakan seluar berwarna abu-abu. Bakinya masih berkumpul di jalan-jalan berpasu besar dengan bunga-bunga mekar, tanpa tahu apa yang harus dilakukan ~ buntu.


“Lihatlah orang-orang bodoh itu, mereka semua akan mengulangi kebodohan yang dilakukan Sukab dan pengikutnya. Mereka fikir matahari akan dapat dijumpai kalau dicari sampai ke timur jauh. Hahaha dasar orang-orang bodoh!” Lelaki berseluar jeans biru muda yang masih menggunakan hoodie itu tertawa tidak ada habisnya, sementara air kencing setan tinggal baki sepertiga.

“Memang dasar tolol! Aku sudah menabung cukup lama, hingga cukup tabunganku untuk membeli matahari. Baru saja tadi aku melunaskan pembayaran terakhir pembelian matahari di mesin ATM sial yang dingin itu. Matahari itu tidak akan dijumpai di timur sana, mataharinya aku dah beli. Mungkin esok aku akan mengumumkannya di tv. Kamu semua harus bayar mahal untuk mendapatkan sinar dari matahari milik aku.”

“Hanya orang dungu yang percaya si Sukab itu. Kamu semua hidup-hidup ditipu Seno dengan cerita-cerita tidak masuk akalnya. Dasar dungu!”

Dalam satu kali teguk, air kencing setan itu habis. Sekarang, si lelaki berseluar jeans biru muda yang menggunakan hoodie pasti sudah benar-benar mabuk!

12.00

…diluar, langit benar-benar gelap. seperti dalam cerita-cerita.


Cerpen ini diambil dari laman Medium Azhar Rijal Fadlilah dan saya olah gaya bahasa dari Bahasa Indonesia ke Bahasa Malaysia. Anda boleh baca cerpen asal versi Bahasa Indonesia DI SINI.

Leave a Reply:

Your email address will not be published. Required fields are marked *